Wednesday, April 22, 2009

BANGUNLAH ORG MELAYU

Orang Melayu mesti insaf dan sedar keadaan politik semasa yang semakin menghimpit dan menekan. Mereka turut menyaksikan pelbagai tuntutan daripada kaum-kaum lain sehingga boleh menjejaskan kekuatan orang Melayu. Kini orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu. Majoriti kaum Melayu yang sepatutnya menjadi penentu, sudah tidak menjadi penentu.
-
Ramai orang Melayu berada dalam keadaan ‘bercelaru’. Banyak peristiwa menunjukkan orang Melayu tidak bersikap matang dan lebih mementingkan keuntungan politik peribadi masing-masing. Jika dilihat daripada sudut politik, orang Melayu tidak pernah bersatu hati. Setiap parti politik Melayu dengan bangga mendabik dada dan mengatakan partinya yang terbaik. Apabila parti-parti politik Melayu diminta bersatu demi kekuatan Melayu dan Islam, mereka mendabik dada mengatakan partinya yang terbaik. Apabila parti-parti politik Melayu diminta bersatu untuk kemakmuran dan kebaikan kaumnya sendiri, terlalu banyak alasan yang diberikan. Sebenarnya orang Melayu mesti bijak berpolitik seperti kaum-kaum lain. Kita lihat parti berasaskan kaum-kaum lain semakin hari semakin kuat.
-
Mereka bersatu dalam memperjuangkan usaha meningkatkan nasib kaum mereka. Perkara ini menjadi keutamaan parti bukan Melayu. Walaupun berlainan fahaman parti politik tetapi mereka akan bersatu apabila ada isu yang menyentuh kaum mereka. Namun parti politik orang Melayu tidak begitu. Bertambah malang apabila agama dijadikan senjata dan mengatakan pihak lain tidak benar kecuali mereka. Orang Melayu sering emosional ketika berpolitik. Ramai yang tebal sikap prejudis. Sikap defensif atau mempertahankan pegangan dan tidak boleh ditembusi. Demi bangsa bernama Melayu dan pegangan agama bernama Islam terus hidup subur selamanya dan bukan tinggal warisan, kini semua orang Melayu perlu titikkan noktah perpecahan dan mulakan lembaran baru untuk bersatu.
-
Semua pemimpin parti politik Melayu bersatu hati. Jadikan usaha memperjuangkan nasib orang Melayu sebagai agenda bersama. Orang Melayu perlu cepat sedar. Lihat sahaja dalam soal pelantikan wakil Kabinet, semua pihak sepatutnya menerima pilihan Perdana Menteri kerana ia bidang kuasa beliau. Begitu konsep Satu Malaysia yang telah disalah taksir oleh parti-parti pembangkang. Justeru, akibat kelemahan dan perpecahan orang Melayu sendiri, kaum-kaum lain sudah semakin berani membuat pelbagai tuntutan dan memainkan isu-isu yang tidak munasabah. Jadikanlah apa yang berlaku di Perak dan Pulau Pinang selepas pilihan raya lalu sebagai pengajaran bahawa fenomena sama boleh berlaku di negeri-negeri lain, jika orang Melayu terus berpecah belah. Jangan nanti apabila tiba masanya, akibat daripada permainan politik melampau bagi setengah-tengah pemimpin Melayu yang tamak kuasa, orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri.
-
Janganlah kita menjadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Kini orang Melayu sudah berpecah kepada empat bahagian iaitu orang Melayu menyokong UMNO, Pas dan PKR dan yang berkecuali, iaitu tidak menyokong mana-mana pihak. Di bandar-bandar, orang Melayu terus dipinggirkan oleh kekuasaan ekonomi kaum lain. Di luar bandar pula, orang Melayu terus hidup dalam serba kekurangan dan terpinggir. Sekiranya, orang minoriti India pun boleh bersatu dalam memperjuangkan kepentingan mereka, mengapa orang Melayu dan Islam tidak boleh bersatu sebagai satu ummah. Jika orang Melayu tidak juga insaf dan sedar lagi, maka tidak mustahil suatu hari nanti orang Melayu akan menerima nasib seperti orang Melayu di Singapura pada hari ini. Maka, orang Melayu berhentilah daripada terus bercakaran dan berpecah.
-
Jadikanlah Melayu dan Islam sebagai paksi untuk mencapai perpaduan dan kesepakatan yang kekal demi kekuatan bangsa Melayu dan Islam agar terus wujud di tanah airnya sendiri.

No comments:

Post a Comment