Tuesday, April 28, 2009

BN boikot Penanti

Elok benar rasanya jika Barisan Nasional (BN) kekal dengan pandangan awal Perdana Menteri mengenai penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti yang bakal diadakan. Jika benar BN tidak meletakkan calonnya pada pilihan raya itu nanti, ia bukan sahaja memudahkan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengekalkan kerusi miliknya itu, malah turut membuktikan banyak perkara.
-
Kerusi Dun Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April. Terdahulu pada 21 Mac, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuatkuasa 8 April tetapi mengekalkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

-
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Fairus merampas kerusi berkenaan dari genggaman BN. Beliau menewaskan Dato' Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi. Calon KeADILan itu memperolehi 7,346 undi berbanding Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh itu yang mendapat 5,127 undi.

-
Meskipun kerusi Dun Penanti secara tradisinya milik BN dan hanya terlepas pada pilihan raya lalu, ia bukanlah boleh dianggap kubu terlalu kuat atau kebal bagi parti itu. Buktinya, walaupun Pilihan Raya Umum 2004 dianggap kemuncak kekuatan dan pencapaian BN dalam sejarah pilihan raya negara, kerusi Dun Penanti dimenangi Abdul Jalil dengan majoriti hanya 667 undi. Ia bukanlah perbezaan undi yang besar bagi Dun yang memiliki lebih 15 ribu pengundi.

-
Berdasarkan perangkaan 2008, Dun berkenaan memiliki komposisi pengundi 73 peratus Melayu, diikuti 24.2 peratus Cina dan 2.4 peratus India. Jumlah lebih 25 peratus pengundi bukan Melayu terbukti menjadi penentu nasib BN. Sepertimana kebanyakan kerusi dengan komposisi sebegitu, Penanti juga akhirnya menjadi milik pembangkang.

-
Dalam perkembangan beberapa tahun ini, kaum bukan Melayu bukan lagi aset utama menjamin kemenangan BN. Pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau, 7 April lalu adalah contoh terkini. Sentimen menolak BN di kalangan mereka masih belum dapat dipulihkan.

-
Barangkali fakta-fakta ini sudah diambilkira Perdana Menteri. Bahawa perkembangan mutakhir ini tidak memihak BN. Maka harapan untuknya menewaskan KeADILan di Penanti adalah hampir mustahil.

-
Sebab itu tidak begitu memeranjatkan apabila Najib melontarkan kemungkinan partinya tidak ikut serta memeriahkan pesta demokrasi di sana sebaik kekosongan kerusi berkenaan dimaklumkan. Di samping menyifatkan peletakan jawatan Fairus sebagai mainan politik, Najib juga mengaitkan pilihan raya kecil ini dengan pembaziran masa dan wang rakyat.

-
"Terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya yang tidak perlu sebenarnya," katanya, sepertimana disiarkan media cetak, 18 April.
Kenyataan itu disambut reaksi bercampur-campur oleh para pemimpin dan pendokong BN sendiri. Ada yang senada seirama dengan beliau, ada juga yang tidak bersetuju.
Bagi yang bersetuju, mereka menyifatkan pilihan raya semula ini menyusah dan membosankan rakyat. Dalam keadaan kini segala tumpuan sepatutnya dihalakan kepada usaha memantapkan ekonomi rakyat dan negara.

-
Satu keaiban

-
Bagi yang tidak bersetuju pula, ketiadaan BN dalam mana-mana pilihan raya adalah suatu keaiban. Belum pernah dalam sejarah pilihan raya negara ini parti pemerintah itu tidak ikut serta secara sengaja, melainkan penyertaan calonnya dibatalkan di atas sebab teknikal.

-
Ada juga yang menganggap ketidaksediaan BN menyertai pilihan raya di Penanti ibarat memberikan kemenangan percuma kepada Pakatan Rakyat, khususnya KeADILan. Ia umpama menyerah kalah sebelum masuk gelanggang.
Lebih tidak menyenangkan, tindakan itu bagaikan menyumbang moral politik kepada Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

-
Apa pun hujah BN, di luar sana rakyat ada telahan dan nilaian tersendiri. Alasan dan rasional dikemukakan Najib dan para pemimpin yang sependapat dengannya tidak dapat lari dari strategi dan kepentingan politik BN.

-
Andaikata nantinya BN benar-benar tidak ikut serta dalam pilihan raya kecil di Penanti, rakyat tidak mudah menerima alasan pembaziran wang, tenaga dan masa, sepertimana dinyatakan Najib. Logik paling diperkatakan ialah BN sudah trauma dengan kekalahan demi kekalahan dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

-
Pengalaman pahit di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau menghantui BN. Bagi mengelakkan terus dimalukan dengan rekod kekalahan berturut, maka jalan keluar terbaik buat BN ialah tidak bertanding di Penanti.

No comments:

Post a Comment