Monday, March 23, 2009

PERKARA YANG BAKAL BERLAKU.

'Lusa, Malaysia akan dapat kepimpinan baru. Perwakilan UMNO, bagi pihak rakyat akan membuat ketentuan. Sesiapa dipilih UMNO, mahu tidak mahu terpaksa diterima oleh yang bukan menjadi ahli sebagai pemimpin mereka juga. Kebijaksanaan perwakilan UMNO didoakan. Ramai orang khuatir akan kebijaksanaan perwakilan UMNO membuat penilaian. Ramai percaya penaksiran dibuat bukan berdasarkan kepala tetapi berdasarkan hati dan hati pula dihasut wang ringgit.
-
Berasaskan itu, ramai percaya kemungkinan berlakunya keputusan seperti di bawah ini tidak dapat ditolak: Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Naib Presiden, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.
-
Sementara pemenang untuk jawatan Ketua Pemuda ialah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz. Barisan pemenang di atas berupa satu ‘dream team’ untuk memandu UMNO menghadapi cabaran mendatang di celah-celah penolakan rakyat Melayu dan bukan Melayu kepada parti itu.
-
Di tangan pemimpin seperti inikah perwakilan akan mempertaruhkan kepercayaan menerajui UMNO? Selesakah kalian?
-
Najib sudah pun melepasi garisan pemenang. Dia tidak perlu bertanding terima kasih kepada peraturan UMNO yang memerlukan hampir 60 pencalonan baru melayakkan diri bertanding jawatan Presiden. Tiada bahagian UMNO di Semenanjung mahupun di Sabah memiliki keberanian menentang calon pilihan Presiden ketika itu. Mereka sebagai pengikut, patuh dan enggan menggunakan kuasa memilih.
-
Jawatan kedua penting di mana berlakunya pertandingan ialah jawatan Timbalan Presiden. Atas kertas, sepatutnya Tan Sri Datuk Muhyiddin menang mudah kerana dia memiliki ciri-ciri tepat dipilih Timbalan Presiden berbanding Muhammad. Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri lebih layak berbanding Muhammad Taib, Menteri Pembangunan Luar Bandar. Imejnya lebih bersih.
-
Imej Muhammad Taib bukan tidak bersih tetapi imej Muhyiddin lebih bersih berbandingnya. Sewaktu Mohd Ali mula diumumkan tidak dibenarkan bertanding, sangkaan umum ialah Muhyiddin akan menang mudah dalam pertandingan dua penjuru berdepan hanya Muhammad Taib. Perkiraan lebih teliti selepas itu menunjukkan situasi berbeza pula. Kali ini dikatakan hakikat sebenarnya ketiadaan Mohd Ali dalam pertandingan merumitkan Muhyiddin dan sebaliknya mencerahkan peluang Muhammad.
-
Sebelum dihalang dari bertanding, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dikatakan memiliki lebih dari 50 peratus undian dengan Muhyiddin mendapat 35 peratus dan selebihnya, 10 peratus untuk Muhammad. Jika Mohd Ali gagal bertanding, ramai beranggapan undian yang diperuntukkan kepada Mohd Ali akan berpindah kepada Muhammad Taib. Situasi begini dikatakan mencemaskan pembantu dan penyokong Najib. Mereka dipercayai sedang berhempas pulas memulihkan kekalutan timbul akibat keputusan menghalang Mohd Ali bertanding.
-
Mereka khuatir penyokong Mohd Ali berpindah memberi sokongan kepada Muhammad dan bukannya kepada Muhyiddin yang dikatakan menjadi pilihan Najib. Penyokong-penyokong Najib dikatakan menggesa pekerja turun ke bawah memadamkan api pemberontakan di kalangan perwakilan parti kecewa dengan tindakan diambil Lembaga Disiplin UMNO. Kalangan ini juga sedang rancak berkempen menghalang Muhyiddin daripada mencapai kemenangan kecil yang juga akan ditakrif sebagai sesuatu menghina Najib. Mereka mahu Muhyiddin mendapat kemenangan besar sesuai dengan kedudukannya sebagai rakan regu Najib.
-
Jika sebahagian besar daripada undi diberikan kepada Mohd Ali itu dihalakan kepada Muhammad, kedudukan Muhyiddin adalah cemas. Muhammad mungkin boleh menang pula. Beberapa orang menawarkan diri dipilih menjadi Naib Presiden UMNO. Jawatan ini sebenarnya tidak memberi apa-apa kuasa eksekutif kepada pemegangnya. Malah jawatan Timbalan Presiden pun tidak membawa erti besar dalam organisasi seperti UMNO.
-
Musa Hitam pernah memberitahu penulis tentang kedudukannya sebagai Timbalan Presiden dengan kata-kata, “Apalah jawatan itu kalau tidak diberi kuasa!” Apa-apa pun, ia adalah bayangan hierarki dalam parti. Logiknya, jika berlaku sesuatu kepada Presiden, Timbalan akan mengambil alih dan salah seorang dari Naib Presiden akan menjadi pemangku Timbalan Perdana Menteri dan semestinya diikuti oleh jawatan Timbalan Presiden. Dalam konteks ini, sebaliknya, pengisi jawatan itu agak signifikan pula. Maka, orang dipilih sebagai Naib Presiden itu agak penting untuk diperhalusi baik oleh perwakilan.
-
Ia tidak boleh dibuat mengikut siapa bayar lebih! Pilihan mereka akan mencorakkan kepimpinan masa depan. Hari ini mereka tidak berperanan, tetapi nasib masa depan rakyat Malaysia ditentukan oleh mereka. Meneliti senarai calon ditawarkan UMNO untuk menjadi barisan pelapis kepimpinannya, menyerlahkan satu senarai tidak meyakinkan. Tidak ramai di antara mereka yang memperlihatkan ciri kepimpinan yang cemerlang semasa mereka menjalani tugas sebagai menteri. Namun terdapat tiga nama penulis senarai dalam ‘dream team’ ini. Mereka ialah Isa Abdul Samad, Abdul Rahim Tamby Chik dan Shafie Afdal. Sepanjang mereka berada di dalam kancah politik negara, penulis rasa kedudukan mereka sebagai pemimpin UMNO bagi era pasca 8 Mac langsung tidak sesuai.
-
Pemimpin UMNO selepas 8 Mac dikehendaki memiliki moral tinggi sesuai dengan mesej pengundi. Para perasuah (politik wang) dan mereka yang terlibat dengan skandal seks tidak sewajarnya mengejar jawatan tinggi dalam parti lagi. UMNO boleh pilih mereka tetapi, UMNO boleh hancur kerana mereka. Kata Tun Dr Mahathir Mohamad, jika UMNO tidak mahu mendengar mesej rakyat, rakyat akan memberi mesej lain pada PRU-13.
-
Rakyat masih ingat tentang Abdul Rahim dengan kes skandal seksnya yang juga turut menyebabkan Lim Guan Eng terpenjara. Rakyat masih ingat tentang bagaimana Isa diminta berundur daripada jawatan menteri apabila UMNO mendapati beliau bersalah dengan politik wang.
-
Shafie Afdal juga dikesan tidak memberi sumbangan menonjol kepada UMNO. Kedudukan beliau di dalam UMNO pada keadaan yang tinggi berdasarkan kuota Sabah semata-mata. Sumbangan fikiran beliau kepada UMNO tidak menonjol. UMNO pada tahun 2009 tidak boleh menjadi kuat semata-mata kerana kuota. Parti mahu mereka yang boleh menyumbang fikiran bernas demi parti dan negara. Para perwakilan boleh menyelamatkan UMNO kalau ia tidak terikat dengan sentimen daerah. Mampukah pemimpin yang hanya berdiri di atas kekuatan Sabah membawa UMNO kembali merampas Kelantan dan Kedah? Memilih tokoh untuk memimpin UMNO adalah sesuatu yang amat rumit.
-
Sekali lagi tawaran yang dibuat UMNO memperlihatkan bahawa seolah-olah parti itu sudah ketandusan pemimpin. Dari ratusan ribu yang menganggotai sayap Pemuda, UMNO hanya mampu menengah tiga orang ‘tokoh’ iaitu, Datuk Mukhriz Mahathir, Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.
-
Mukhriz dilihat agak popular. Kita tidak boleh terkeliru di sini. Dia dilihat bersih hanyalah semata-mata dia tidak memegang jawatan dan berada di luar pengaruh orang berkuasa. Bapanya sudah lama tidak berkuasa. Sewaktu bapanya menjadi pemimpin nombor satu UMNO, tidak kurang juga cerita-cerita negatif berkaitannya. Dia beruntung sekarang tetapi mutu kepimpinannya apa? Kalaulah dia bukan anak Mahathir, di manakah dia berada dalam politik UMNO? Khairy pula adalah mangsa kedudukannya sebagai menantu Perdana Menteri. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan kepadanya. Dia diberi tanggapan sebagai simbol ahli UMNO, iaitu angkuh dan kaya raya.
-
Dalam politik Malaysia hari ini, memiliki imej seperti itu adalah satu kesalahan. Fakta ini ditegaskan Mahathir sewaktu berucap pada majlis anjuran PERKASA Ahad kelmarin. Imej ini hanya sesuai pada zaman Syed Jaafar Albar. Imej ini bagaimanapun amat popular dipegang tokoh politik UMNO kerana imej begini boleh memperkuatkan ketokohan mereka di kalangan sesama kelompok. Khir Toyo sekarang amat gigih memberikan dirinya memiliki imej ini. Dia ingin menggambarkan dirinya sebagai Hang Tuah alaf ini. Imej ini boleh membantunya memenangi jawatan dalam UMNO, tetapi akan menyegerakan ‘kematian’ UMNO’ terutamanya di negeri-negeri di mana bukan Melayu berupa pengundi yang agak besar. Memiliki imej begini bukannya salah untuk dipegang oleh anggota parti nasionalis.
-
Bezanya, imej korup yang ditanggapi ramai yang ada pada nasionalis seperti itulah yang menimbulkan kebencian ramai. Memiliki perasaan perkauman yang tebal tetapi tidak korup tidak berupa satu yang keji di kalangan pengundi bukan Melayu. Selama lima puluh tahun mereka hidup sebati dengan imej nasionalis semacam itu. Mereka tahu itu imej mainan orang politik. Justeru itu, Khir Toyo tidak memiliki imej sesuai menjadi pemimpin UMNO dewasa ini kerana rakyat di luar UMNO percaya dia melakukan banyak kesalahan sewaktu menjadi MB Selangor dulu.
-
Terlampau banyak tuduhan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dihalakan kepadanya. Perebutan jawatan Ketua Pemuda memperlihatkan pertandingan di antara tokoh-tokoh yang popular di kalangan UMNO tetapi tidak dapat diterima oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Tokoh-tokoh ini gemar memainkan isu yang menyemarakkan sentimen Melayu demi kepentingan politik mereka tetapi kewibawaan mereka sangat dipertikaikan. Tawaran yang dibuat agak memalukan sedikit. Seorang lagi tokoh yang bertanding dan layak menyertai senarai ‘dream team’ ialah Rafidah.
-
Terlampau banyak pandangan negatif diberikan terhadap beliau. Faktor umur sudah pun tidak menyebelahi beliau apalagi dalam usaha UMNO meremajakan parti. Sepatutnya beliau tidak bertanding langsung. Perwakilan boleh membantu UMNO mengingatkan calon sebenarnya mereka tidak layak menawarkan diri bertanding. Oleh kerana mereka sudah layak dari segi bilangan pencalonan, eloklah mereka dibantu dengan tidak diberi undi agar itu dibaca sebagai satu usaha membantu mereka juga. ‘Dream team’ ini, jika benar-benar terjadi akan segera meredah jalan membawa UMNO ke arah penolakan rakyat secara lebih besar pada PRU 13 nanti.
-
Peluang masih ada.
-
Gunakanlah undi sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment